Selasa, 1 September 2009

ALTANTUYA


Walaupun sudah beberapa tahun Altantuya Shaaribu, model jelita Mongolia itu dibunuh dengan kejam, namun namanya masih disebut-sebut. Seolah-olah 'hantu'nya sentiasa hidup dan terus hidup. Kelmarin, di Shah Alam, Pemuda PAS Pusat meluluskan usul untuk dibahas yang antara lain ialah membersih nama baik Najib Tun Razak yang tercemar kerana dituduh terlibat dalam pembunuhan Altantuya dengan menyeru Najib menyaman semua pihak yang mengaitkannya dengan pembunuhan kejam itu.

Itu cerita hantu Altantuya yang merasuk suara perwakilan PAS di Shah Alam. Tapi hantu Altantuya bukan saja kelihatan di Shah Alam kelmarin, tetapi juga di Beijing. Ia berlaku apabila Najib yang dalam lawatan resminya ke China telah ditanya tentang kes pembunuhan kejam gadis Mongolia ini oleh wartawan Associated Press.

Najib yang kelihatan tidak senang dengan rasukan hantu Altantuya ke atas wartawan yang menanyanya itu dilaporkan berkata, “Saya tak ada kena mengena dengannya.Tidak ada bukti.”

Memang tidak ada bukti Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya. Sebab itu dia perlu membersihkan namanya. Sebab itu dia perlu menyaman Raja Petra dan Balasubramaniam yang menyatakan mereka mempunyai bukti Najib terlibat dalam pembunuhan keji itu. Najib perlu membuktikan bahawa bukti yang ada di tangan Raja Petra dan Balasubramaniam itu adalah tidak benar. Najib juga perlu berani membawa balik Bala ke Malaysia bagi dibicarakan atas tuduhan memfitnahnya.

Selagi Najib tidak berani membersihkan namanya, selagi itu orang tetap percaya dia terlibat dalam pembunuhan itu dan selagi itu hantu Altantuya akan terus beterbangan dan merasuk ke seluruh asmosfera dunia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan